Sudahkah anda fikir masak-masak dan bertekad untuk membuka restoran atau kafe? Di sini kami senaraikan 10 kesilapan utama yang sering dilakukan oleh pengusaha restoran baru dari membeli peralatan dapur, menggaji kakitangan hingga ke cara menulis menu. Ikuti tips di bawah ini untuk menjimatkan masa, wang dan tenaga anda.
Wan Afifah @ Pengusaha di Amazon Kitchen
1. Sediakan modal yang mencukupi
Salah satu kesilapan utama pemilik restoran baru ialah tidak menyediakan modal yang mencukupi. Untuk membuka restoran, jumlah modal yang diperlukan bukan hanya untuk menyewa premis, mengubah suai kedai, membeli peralatan dan membeli stok makanan.
Anda juga perlu menyediakan modal operasi sekurang-kurangnya untuk 6 bulan. Ini bermakna jika kos bulanan anda ialah RM10k, anda perlu mempunyai aliran tunai cair sebanyak RM60k untuk kegunaan restoran. Tujuannya ialah dalam perniagaan ini jarang sekali anda akan memperoleh keuntungan dalam beberapa bulan pertama.
2. Beli peralatan dapur terpakai
Sekiranya anda merancang untuk membuka restoran atau kafe pertama anda, cari dan beli peralatan dapur terpakai untuk menjimatkan kos. Ini kerana anda tidak akan dapat menjangkakan masa depan perniagaan anda. Setiap tahun, berpuluh-puluh restoran atau kafe ditutup disebabkan oleh pelbagai faktor. Peralatan dapur restoran ini akan dijual semula di kedai barangan terpakai. Buat sedikit homework dan mungkin anda akan dapat mencari peralatan dapur yang anda inginkan yang masih dalam keadaan baik serta 60% lebih murah daripada harga model baru.
3. Menggunakan sistem POS (Point-Of-Sale) restoran
Sekiranya anda serius untuk membuka restoran, kami menyarankan agar anda memperuntukkan sedikit bajet untuk mendapatkan sistem POS (Point-Of-Sale) restoran dan bukan mesin daftar tunai biasa seperti di kedai runcit. Fungsi mesin daftar tunai biasa amat terhad dan hanya merekodkan jualan. Sistem POS (Point-Of-Sale) pula mempunyai pelbagai kelebihan yang dapat membantu perniagaan anda seperti menyelaraskan proses jual beli, memantau aliran tunai, kaji data inventori dan pembayaran dengan lebih efisien. Sistem POS (Point-Of-Sale) sememangnya lebih mahal daripada mesin daftar tunai tetapi jika digunakan dengan betul, ia akan memberikan pulangan berlipat ganda dalam jangka masa panjang untuk perniagaan anda.
4. Cari tukang masak yang sesuai
Jika anda atau rakan kongsi perniagaan anda adalah tukang masak untuk restoran, anda tidak perlu risau tentang perkara ini. Namun, jika anda perlu mengupah tukang masak, anda perlu berhati-hati untuk memilih calon pekerja. Bagi pengusaha restoran, mencari pekerja yang sesuai dan berkebolehan adalah satu perkara yang sangat mencabar. Semasa anda dalam proses mencari tukang masak, anda perlu memastikan bakal tukang masak itu boleh memasak mengikut menu restoran anda. Anda juga dinasihatkan untuk mencari pekerja yang mempunyai keperibadian yang baik dan serasi dengan anda dan pekerja yang lain kerana pekerja yang tidak selesa dengan persekitarannya tidak akan bertahan lama.
5. Fahami perbezaan peralatan dapur komersil
Semasa membeli peralatan untuk restoran anda, adalah penting untuk mencari barangan yang direka khusus untuk kegunaan restoran. Peralatan komersial berbeza dengan peralatan yang kita biasa gunakan di rumah kerana ia direka khas untuk tahan lasak dan juga tahan lama untuk digunakan. Oleh sebab itu, harga peralatan komersial jauh lebih mahal daripada peralatan biasa.