Bahagian 2 : 10 Kesilapan Besar Pengusaha Restoran Baru

6. Pilih nama yang sesuai untuk restoran anda

Apabila memilih nama untuk restoran anda, pilihlah nama yang original, mudah untuk diingati dan juga bersesuaian dengan konsep restoran supaya tidak mengelirukan pelanggan anda. Satu tips berguna ialah cuba untuk membuat carian nama yang telah dipilih di Facebook, Instagram ataupun carian web. Pastikan nama tersebut tidak digunakan oleh restoran lain, jadi anda boleh menggunakannya.

7. Elak dari menggunakan fon yang sukar dibaca

Memang seronok apabila mencari fon yang unik ketika mereka bentuk logo dan menu anda tetapi pastikan fon tersebut mudah dibaca sama ada di papan tanda restoran ataupun menu anda. Papan tanda yang kurang jelas akan menyebabkan kesukaran pelanggan untuk mencari restoran anda. Elakkan dari menggunakan fon kursif atau berbunga. Untuk menu, saiz fon 12-14 adalah ideal untuk bacaan mudah.

8. Jangan mula dengan menu yang panjang

Pada awal perniagaan, anda dan pasukan anda mungkin akan menghadapi pelbagai masalah kerana latihan yang tidak mencukupi. Semakin lama restoran itu beroperasi, semakin baik prestasi pekerja dan segala masalah lebih mudah untuk diatasi. Memulakan restoran anda dengan menu yang besar akan menimbulkan pelbagai masalah seperti penyediaan  dan pembaziran makanan. Sebagai permulaan, saiz menu yang ideal tidak melebihi 30 produk. Setelah 2 atau 3 bulan beroperasi, anda boleh mengolah menu untuk mengeluarkan produk yang tidak mendapat sambutan dan menambahkan hidangan yang baru.

9. Jangan kedekut untuk bajet pemasaran

Ramai pengusaha restoran kurang memberi perhatian terhadap pemasaran berbayar. Dalam keadaan perniagaan hari ini di mana pengguna mempunyai banyak pilihan, usahawan perlu mempertimbangkan pelbagai kaedah pemasaran untuk terus bersaing. Pengusaha tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan kaedah tradisional seperti pemasaran dari mulut ke mulut (word of mouth). Walaupun ini percuma, ia akan mengambil masa yang lama untuk memberi kesan. Usahawan yang dinamik akan memperuntukkan bajet yang mencukupi untuk pelbagai kaedah pemasaran percuma ataupun berbayar seperti media sosial, influencer, papan iklan, brosur dan sebagainya mengikut strategi yang telah ditetapkan.

10. Jangan terlalu percaya cakap rakan dan ahli keluarga

Tentu ramai yang terkejut dengan tips ini. Kebanyakan usahawan mengatakan sebab utama mereka memulakan perniagaan adalah kerana rakan atau ahli keluarga mereka pernah memberi pujian tentang masakan mereka dan menggalakkan mereka untuk membuka restoran. Walaupun pujian seperti ini amat membanggakan, tetapi pandangan dari segelintir pihak tidak cukup untuk mewakili permintaan pengguna. Sebelum anda mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk membuka restoran, cuba jalankan perniagaan secara kecil-kecilan untuk menguji pasaran seperti membuka gerai di pasar malam atau pesta makanan. Anda juga boleh memberikan sampel kepada jiran dan rakan pejabat untuk mendapatkan maklum balas. Setelah anda berpuas hati dengan maklum balas tersebut, anda boleh pertimbangkan untuk membuka restoran.

Online Valuation!!
Logo
Reset Password